Sunday, April 6, 2008

Utusan Malaysia 5 April 2008

Adifashla cukup bertuah


WAJAH BARU DI ERA. Adi kini berhijrah dari stesen x-fresh ke radio era.


BENARLAH kata pepatah tuah ayam nampak di kaki tetapi tuah manusia tiada siapa tahu.

Itulah yang berlaku pada pemilik nama sebenar Adifashla Juraimi atau lebih dikenali sebagai Adifashla.

Bayangkan dalam ramai-ramai insan yang mempunyai harapan dan impian untuk menjadi ahli keluarga stesen nombor 1 negara, Era FM, dia yang terpilih.

Mesra dikenali sebagai Adi, semua ini katanya berlaku secara tidak sengaja malah sehingga ke hari ini dia menganggap apa yang berlaku padanya seperti mimpi.

“Niat saya pada mulanya ingin bertukar waktu siaran pada waktu pagi. Sebelum ini saya bertugas waktu malam di X-Fresh sehingga langsung tak ada kehidupan malam. Lantas saya suarakan perkara tersebut pada pihak pengurusan.

“Namun jawapan yang diberikan kepada saya sebaliknya pula. Tiba-tiba saya ditawarkan menjadi ahli keluarga Era. Bukan waktu pagi saya dapat tapi saya terus ditawarkan waktu subuh,” katanya sambil ketawa besar.

Tambahnya, apa yang telah berlaku ini umpama sebuah cerita dongeng yang tidak mampu diungkapnya.

Menyambung perbualan kata lelaki ini: “Saya hanya diberi masa satu malam sahaja untuk berfikir mengenai tawaran tersebut.

“Fikir-fikir akhirnya saya terima tawaran tersebut dengan hati yang terbuka. Malah saya tak sempat pun nak ucapkan selamat tinggal pada pendengar X-Fresh sebab saya bersiaran pada sebelah malam dan kemudian paginya pula saya bersiaran di Era.”

Kini Adi telah pun bersiaran lebih sebulan di segmen pagi Era pada pukul 6 hingga 10 pagi bersama Nana dan Kieran.

“Walaupun di X-Fresh saya sudah empat tahun, tapi saya menganggap yang saya masih baru. Banyak benda saya perlu belajar untuk memastikan agar saya mampu menarik hati pendengar Era.

“Kini saya masih lagi mencari keserasian bersama-sama Nana dan Kieran. Maklumlah kini bersiaran bertiga, kalau tak kenal satu sama lain susah juga nanti ketiga-tiga asyik nak bercakap dan berlanggar antara satu sama lain,” kata penggemar kumpulan Dewa 19 ini lagi.

Satu cabaran

Kala diajukan persoalan tidakkah dia sayang pada stesen yang banyak berbudi serta yang telah menaikan namanya kata Adi: “Saya sangat sayang pada X-fresh, tapi apa yang saya lakukan ini adalah untuk kebaikan diri saya sendiri. Bagi saya ini satu cabaran untuk saya lebih maju di hadapan. Kalau saya tak terima tawaran ini seolah-olah saya menolak tuah.”

Namun kata penggemar muzik rock dan pop ini, dia tidak mahu khalayak salah faham atau berprasangka buruk padanya mengenai perpindahan tersebut.

“Saya harap peminat tak anggap saya seperti kacang lupakan kulit. Mana mungkin semua itu berlaku. Saya sedar sejak saya keluar dari Akademi Fantasia (AF) musim pertama dulu terus saya dapat tawaran menjadi deejay X-Fresh.

“Jadi tak mungkin saya lupakan tempat saya memulakan langkah dalam bidang ini. Saya amat berharap agar peminat-peminat Era FM juga memberi peluang kepada saya untuk membiasakan diri dengan stesen tersebut,” ujarnya dalam nada serius.

Masih mahu menyanyi

Satu yang pasti pemegang Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Putra Malaysia ini masih lagi belum lagi melupai bidang nyanyian.

Biarpun bakat nyanyiannya seakan-akan sudah dilupakan namun kata lelaki berbintang Pieces ini, nyanyian tetap di hatinya.

“Insya-Allah saya dalam proses mencipta lagu untuk diri saya sendiri. memandangkan sekarang ini saya kerja siang saja jadi ada banyak masa terluang.

“Mungkin tidak lama lagi saya akan keluarkan single dua buah lagu. Sekurang-kurangnya peminat masih tahu yang saya masih lagi mahu menyanyi,” katanya lagi.

Kata lelaki berusia 30 tahun ini walaupun dia sibuk sebagai deejay dan pengacara namun dia masih lagi ditawarkan menyanyi untuk beberapa majlis tertutup.

Adi mengakui, minat dan cintanya pada bidang nyanyian tidak pernah pudar apa lagi dengan kedudukannya hari ini sebagai penyampai radio banyak mendedahkannya pada pelbagai genre muzik.

“Saya harus akui yang saya sangat bertuah bergelar penyampai radio di stesen popular. Sudah tentu saya tidak akan mensia-siakan peluang dan kepercayaan yang diberikan kepada saya,” jelasnya mengakhiri perbualan.

3 comments:

efa said...

yeah..abng msti b'juang smpai bler! klau buntu dtng cari syer hehe..always waiting

efa said...

sambungn...sukses dlm idup..jgn dgr ape yg owg nak ckp..just tgk jer

efa said...

sambungn...sukses dlm idup..jgn dgr ape yg owg nak ckp..just tgk jer