Friday, August 29, 2008

Era 10 tahun penuh gemilang

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
serima@bharian.com.my


CELOTEH: Kieran, Adi dan Nana berkomunikasi dengan peminat.

Temui pendengar setia di 10 lokasi sebagai tanda terima kasih

MERAIKAN ulang tahun ke-10 penubuhan stesen radio Era, stesen radio nombor satu di Malaysia sejak sekian lama itu memilih untuk meraikannya 10 tahun penuh gemilangnya bersama peminat menerusi siri penjelajahan.

Sebagai menghargai sokongan pendengar sehingga Era mengecap kejayaan seperti sekarang, stesen radio itu mengadakan siri Jelajah Era di 10 lokasi sama dengan usianya.

Siri jelajah Era itu dimulakan di Batu Pahat, Johor pada 18 Julai lalu. Kemudian penjelajahan diteruskan ke Port Dickson, Seberang Perai, Taiping, Ipoh, Kuala Selangor, Kuala Terengganu dan Kuantan.

Baru-baru ini, iaitu pada 15 Ogos lalu, Era singgah ke destinasi kesembilan mereka di Giant Hypermarket, Nilai, Negeri Sembilan. Selain berpeluang bertemu dengan penyampai hangat Era seperti Kieran, Nana, Aznil, Linda Onn, Reza, Aimee, Ray dan Adi, pendengar juga dihiburkan dengan persembahan artis jemputan.

Tentu sekali peluang keemasan itu tidak dilepaskan apabila artis popular tanah air turut dibawa bersama untuk menghiburkan pengunjung yang datang. Mereka bukan sekadar menghiburkan penonton dengan sebuah lagu tetapi setiap artis yang terbabit benar-benar memuaskan hati penonton dengan mendendangkan empat hingga lima lagu.

Juara musim kelima, Mila menghiburkan penonton dengan rangkaian lagu popularnya iaitu Persis Mutiara, Aku Lebih Tahu, Mila Bila Cinta dan Pudar. Elyana pula memilih tiga buah lagu popularnya Tak Tercapai Akalmu, Kau atau Aku dan Kalis Rindu untuk dipersembahkan kepada penonton.

Kumpulan underground yang semakin mencipta nama, Meet Uncle Hussain pula memukau pengunjung dengan lagu Hilang, Lalala Kerjalah, Pari Pari di Bawah Angin, Pura Pura dan Lagu Untukmu. Sementara sebuah lagi kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai 6ixth Sense pula mendendangkan lagu Tanpa, Hari Ini dan Semalam, Hikayat Cinta, Tak Bisa Memilih serta Kita Boleh.

Empat anak muda yang dikenali sebagai Kristal pula memukau penonton dengan lagu rancak seperti SMS, Sejati, Puteri Cinta Hati, La Obe dan Memburu Rindu. Sebelum dihiburkan dengan persembahan artis popular, pengunjung tiba lebih awal mengikuti aktiviti Perodua Viva Motorcraze yang dibawakan khas Perodua selaku penaja.

Pengurus Rancangan Era, Rostam Said, berkata penjelajahan yang pertama kali diadakan ini adalah tanda terima kasih Era kepada peminat yang menyokong stesen radio mereka sehingga mencapai usia sedekad.

RIUH: Peminat yang membanjiri Giant Nilai tidak mahu melepaskan peluang bersalaman dengan Nana.

“Era berasa sangat berbesar hati kerana dapat meluangkan masa bersama pendengar di semua tempat yang kami lawati. Pengalaman kami melihat reaksi dan sambutan pendengar cukup mengharukan. Saya mewakili warga Era ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pendengar dan kami akan terus berusaha untuk memantapkan stesen kami agar kekal menjadi nombor satu di hati mereka,” katanya.

Era mengakhiri penjelajahan mereka pada 17 Ogos lalu di AEON Bukit Tinggi, Klang. Meskipun bermula jam 8.30 malam, namun konsert jelajah berkenaan tetap berjaya menghimpunkan kira-kira 9,000 penonton. Artis yang menghiburkan penonton di Klang pula adalah Mila, Meet Uncle Hussain, Elyana, Hujan serta Jinbara.

Penyampai Era yang selama ini hanya berceloteh di corong radio turut menyumbangkan suara mereka untuk menghiburkan penonton yang datang memberikan sokongan.


No comments: