Tuesday, June 17, 2008

Laporan dari Berita Harian

Selasa 17 Jun 2008

Hai semua..ini adalah laporan dari akhbar Berita Harian hari ini, hope korang akan teruskan sokongan tapi Adi nak mengalu- alukan komen dari korang semua untuk meningkatkan mutu persembahan Era. Please letak komen anda di ruangan komen kat bawah artikel ni ok..Thanks..selamat membaca....


Radio Era masih kekal nombor satu

Oleh Farihad Shalla Mahmud


KEKAL DI ATAS: Era pasang strategi baru untuk menarik kembali pendengar yang sudah beralih arah.

Jumlah pendengar merosot dari 5.1 juta kepada 4.7 juta kerana persaingan yang semakin sengit

KEPUTUSAN rasmi sudah pun dikeluarkan dan tidak dapat dinafikan gelaran stesen radio nombor satu masih lagi menjadi milik stesen Era. Namun begitu, walaupun masih kekal di kedudukan teratas, apa yang mengejutkan jumlah pendengarnya semakin merosot.

Jika sebelum ini Era begitu mewah dengan jumlah pendengar yang pernah mencecah angka lebih 6 juta, kini jumlah itu semakin hari semakin berkurangan. Buktinya, sejurus selepas kajian dikeluarkan Kajian Media Nielsen (NMR) pada 2 Jun lalu, radio Era hanya mampu berbangga dengan jumlah pendengar sebanyak 4.7 juta berbanding 5.1 juta tahun lalu.


Mengulas perkara itu, Pengurus Program Era, Rostam Said berkata biarpun jumlah penurunan itu adalah sesuatu yang cukup membimbangkan buat Era, namun mereka akur kerana ia jelas menggambarkan persaingan sengit dalam industri radio ketika ini.


“Saya akui, memang kami tak berapa gembira dengan keputusan itu. Tapi kami melihatnya dari sudut positif. Selepas sepuluh tahun menguasai industri radio, kita terpaksa akur dengan faktor persaingan. Kami tetap berpuas hati dengan pencapaian kami setakat ini cuma kami kena lebihkan lagi usaha untuk mendapatkan kembali pendengar kami yang hilang itu,” jelas Rostam kepada Hip ketika ditemui di pejabatnya di Astro, Seri Kembangan baru-baru ini.

Dijolok pertanyaan apakah kemerosotan jumlah pendengar itu berpunca daripada kontroversi yang membabitkan ramai penyampai stesen terbabit, Rostam menafikan kesahihan perkara itu.

“Saya tidak melihat perkara itu sedemikian rupa. Pada saya, kemunculan banyak stesen radio sejak kebelakangan ini menyebabkan bilangan pendengar kami berkurangan. Pendengar kita tidaklah sebanyak mana tetapi itulah juga jumlah yang hendak dikongsikan.

“Justeru, bagi memantapkan lagi Era, apa yang perlu kami tumpukan nanti adalah untuk memantapkan lagi isi kandungan program kami sambil terus mengekalkan program berkualiti yang mereka ada serta menambahkan lagi peraduan yang lebih menarik,” tegasnya.

Tambah Rostam lagi, setakat ini mereka juga berpuas hati dengan prestasi penyampai mereka serta tidak akan melakukan sebarang rombakan.

“Apa yang boleh saya katakan, kemerosotan ini juga tidak berpunca daripada mereka (penyampai). Saya puas hati dengan pencapaian dan persembahan mereka. Seperti yang ditegaskan, perubahan hanya akan dilakukan lebih kepada isi kandungan kerana itu adalah tarikan utama buat pendengar.

“Mungkin ada yang berpendapat kami buat kesilapan besar apabila membuat rombakan besar-besaran tahun lalu dengan menukar waktu slot serta meletakkan selebriti sebagai penyampai. Tapi sebenarnya tidak.

“Saya sendiri berpuas hati dengan penyampai sedia ada. Mungkin ada segelintir yang kurang menjadi tetapi secara keseluruhan mereka berjaya menjalankan tanggungjawab dengan baik,” katanya sambil memberikan contoh segmen Pagi di Era dan slot kelolaan Aznil sebagai antara pilihan pendengar Era.

Walaupun menyedari perubahan yang mereka lakukan itu mampu mengundang risiko, Rostam menegaskan mereka rela menanggungnya asalkan stesen berkenaan tidak terus statik dan membosankan.

“Saya akui tidak semua perubahan dapat diterima terutama apabila ada yang tidak bersetuju kami membuat rombakan slot penyampai kerana kononnya mereka sudah sebati dengan waktu penyampai terbabit ke udara.

“Tapi mahu atau tidak, perubahan perlu kerana kalau tak berani membuat perubahan, kita tidak akan ke mana-mana. Dulu kita pernah menukar Halim Othman dari slot pagi ke jam 10 hingga 2 petang. Masa tu memang ada peminat yang hantar e-mel dan merungut meminta Halim ditukarkan kembali kepada waktu asal.

“Begitupun, lama-kelamaan mereka boleh menerimanya. Jadi saya percaya, pendengar pasti boleh menerima perubahan slot ini secara perlahan-lahan,” katanya penuh yakin.

Rostam juga ingin memperbetulkan salah tanggapan sesetengah pihak yang mengatakan dia bersikap pilih kasih dalam menentukan jenis lagu yang akan disiarkan. Tegasnya, untuk kesekian kalinya, setiap lagu yang disiarkan perlulah menepati konsep Era itu sendiri.

“Saya sudah banyak kali diasak dengan dakwaan mengamalkan diskriminasi dalam memutarkan lagu di Era tapi sebenarnya tidak. Memang betul setiap lagu yang akan disiarkan perlu saya tapis tetapi ia bukan tugas saya seorang.

“Ada kala saya terlebih dulu memperdengarkan lagu di peringkat dalaman dan meminta pandangan mereka mengenainya. Tapi lazimnya, penilaian saya tidak pernah silap. Sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjalankan tugas itu, terus terang, saya tidak boleh bersikap main-main atau sambil lewa.

“Kalau ada yang mengatakan saya bersikap pilih kasih dan memilih lagu berdasarkan cita rasa saya, mereka sebenarnya salah. Lagu yang dipilih berdasarkan cita rasa saya hanya berlaku ketika saya mengendalikan segmen Rock@Era. Ya, yang itu saya memang putarkan semua lagu kegemaran saya,” tutur Rostam sambil mengharapkan mereka memahami tugas yang diamanahkan kepadanya itu.

FAKTA: Era

  • Buat tahun kesembilan berturut-turut, ERA mengekalkan kedudukannya sebagai rangkaian radio nombor satu di Malaysia. Rancangan awal paginya, Pagi @ ERA bersama Kieran, Nana & Adi masih menjadi rancangan awal pagi nombor satu di kalangan pendengar berumur 25+ dan 25-49 tahun.

  • Mempunyai dua penyampai baru iaitu Aimee dan Ray.

  • Tiada sebarang rombakan membabitkan penyampai Era buat masa ini.

  • Jumlah pendengar pernah mencecah 6 juta. Bagaimanapun, jumlah itu semakin berkurangan menjadi 4.7 juta untuk tempoh sehingga pertengahan tahun ini.

  • Frekuensi Era boleh didengari di Kuala Lumpur (103.3FM), Johor Bharu/Singapura (104.5FM), Kota Bharu, Kelantan (103.3FM), Langkawi (90.7FM),Melaka (90.3FM), Negeri Sembilan (103.6FM), Kuantan, Pahang (98.0FM), Kuching, Sarawak (96.1FM), Ipoh, Perak (103.7 FM), Pulau Pinang (103.6FM), Kota Kinabalu, Sabah (102.4FM), Taiping, Perak (95.2FM),Tapah (102.0FM) dan Kuala Terengganu, Terengganu(102.8FM).
  • 4 comments:

    Edzlin said...

    hi adi. mmg bangga bila dgr radio masih no 1 d malaysia. saya suka dgr pagi d era sbb ceria je semuanya. pastu, mesti ada sorang dua pemanggil dgn citer klaka nya...

    semoga radio era dan pagi d era kekal no 1. kim salam kat nana dan kiran k

    ADIFASHLA said...

    yer ..Amin!!! doakan dan berikan sokongan Edzlin...

    tepung-gomak said...

    HYE ADI..sy dan family meminati ady sejak zaman AF1 lagi..kerana adi juga merupakan baladewa macam saya..hehe/...jgn risau kemana adi pergi,sy tetap menyokong..go go go..

    ADIFASHLA said...

    Wahh ada baladewa di sini..hehehe..thanks sebab terus menyokong Adi wahai Kipas Lipas!!