Adi bijak tarik pendengar
Adifashla pada mulanya mencuba menjadi penyampai radio sekadar untuk mengembangkan bakat. Bagaimanapun, dia merasakan kerjaya sebagai penyampai radio sangat menarik.
MULA dikenali ketika menyertai Akademi Fantasia musim pertama, Adifashla Juraimi, 31, atau lebih dikenali sebagai Adi mula mengorak langkah sebagai penyampai radio (deejay) di stesen radio X-Fresh dan kemudiannya Era FM.
Pada mulanya, Adi menerima tawaran sebagai penyampai radio sekadar untuk mengembangkan bakat yang ada dalam dirinya.
Siapa sangka jejaka yang berasal dari Tanjong Karang, Selangor itu memiliki bakat luar biasa sebagai penyampai radio serba boleh.
"Tidak sangka kerjaya sebagai penyampai radio sangat menarik, kita bukan sahaja perlu bijak berkomunikasi, malah perlu bijak menarik minat pendengar," kata Adi yang berganding bahu bersama seorang lagi pelajar AF iaitu Burn dalam Petang di Era dari pukul 4 sehingga 8 malam.
Paling menarik ialah anda juga boleh mendengar segmen baru kelolaan Adi dan Burn iaitu Hikayat Mak Nani. Melalui segmen itu, anda boleh mendengar cerita lucu yang dimulakan oleh Adi dan Burn kemudiannya disambungkan oleh para pendengar sendiri.
Di samping itu juga Adi dan Burn membuka talian untuk pendengar-pendengar menelefon mereka dan berbincang pelbagai topik yang menarik.
Untuk mengenali Adi dan kerjaya pilihannya, GenK ajukan empat soalan kepadanya:
Boleh Adi ceritakan pengalaman sebagai penyampai radio?
Saya sudah sertai Era FM selama dua tahun. Sebelum ini saya bertugas sebagai penyampai radio di X-Fresh selama tiga tahun. Namun, selepas mendapat tawaran sebagai penyampai radio di Era FM daripada pihak AMP Radio Network, saya menerimanya.
Ternyata keputusan untuk menjadi penyampai radio berbaloi kerana mendapat banyak pendedahan dalam bidang muzik dan komunikasi.
Apakah cabaran Adi sebagai penyampai radio?
Kerjaya sebagai penyampai radio nampak senang tetapi sebenarnya tidak. Ia memerlukan seseorang penyampai radio mempunyai banyak idea ketika bercakap. Saya lakukan penyelidikan dan mencari banyak maklumat supaya apa yang dibincangkan tidak merapu dan berpandukan fakta.
Selain itu, seorang penyampai itu kena pandai menarik minat pendengar dan berbual dalam dalam keadaan santai.
Boleh ceritakan rutin harian Adi?
Walaupun akan ke udara pada pukul 4 petang, namun saya akan pastikan sampai ke pejabat setiap hari pada pukul 12 tengah hari. Saya akan memeriksa e-mel, mengemaskini blog, membuat penyelidikan atau mencari maklumat tambahan.
Selain bergelar penyampai radio, apa yang anda lakukan?
Baru-baru ini, saya mendapat tawaran sebagai duta Perhilitan dari Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara. Tidak sangka tawaran itu muncul selepas Perhilitan membaca blog saya yang berkaitan lawatan-lawatan ke beberapa zoo sebelum ini dan projek projek alam sekitar yang pernah saya lakukan.
Sekurang-kurangnya, dengan tawaran tersebut saya boleh berbakti untuk membantu dan menjaga kelangsungan hidup haiwan-haiwan liar dan Taman Negara.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Perhilitan, anda boleh layari laman web www.wildlife.gov.my
*Petikan daripada KOSMO (Selasa 10 Nov 2009)
3 comments:
what ever it is, moga success ya... janji suka dgn apa yg kita buat..
HAI ABG ADI!!!
hm...menariklah petikan keratan kosmo tu...hm..!!bkn mudah kerja abg adi ni yek!tapi di mana ada usaha di situ ader jalan....
jika kita seronok dgn sesuatu kerja, ia akan menjadi mudah dan kita tidak mudah terasa stress!!...
btw Rusma doakan agar abg adi lebih berjaya & good luck di dalam ape jua bidang yg abg adi ceburi!!!
abg adi, u're the best!!! sbb tu leh jd duta. woohhooo
Post a Comment