chipsmore land
|
|
ZAMAN kanak-kanak merupakan peringkat pembelajaran yang sangat menyeronokkan bagi setiap orang. Lebih-lebih lagi, pembelajaran melalui permainan dapat membantu perkembangan minda dengan pantas.
Justeru itu, program game show bercorak pengembaraan unik, Chipsmore Land akan kembali lagi menemui adik-adik untuk musim kelima. Pertandingan yang dialami oleh kanak-kanak di dalam setiap episod Chipsmore Land, direka khusus untuk memberi kanak-kanak merasai keseronokan program pertandingan yang berlainan daripada aktiviti dan kurikulum biasa persekolahan.
Menariknya, game show ini memberikan peluang kepada kanak-kanak terbabit untuk meneroka pemikiran yang kreatif serta menyediakan strategi yang diperlukan untuk mengatasi setiap cabaran yang bakal dihadapi dalam pertandingan berkenaan.
Program Chipsmore Land disasarkan untuk kanak-kanak yang berumur antara sembilan hingga 12 tahun yang mana pemilihan para peserta telah dilakukan secara uji bakat.
Rancangan ini akan disiarkan di saluran TV9 setiap hari Rabu mulai 6 Oktober depan pukul 7.30 malam.
Hadiah lumayan menanti kumpulan yang menjadi juara ialah wang tunai berjumlah RM 10 ribu.
Para peserta musim kelima ini diuji bakat beberapa bulan sebelum rakaman dilakukan. Mereka ni terdiri daripada pelajar pelajar sekolah dari seluruh negara. Uji bakat dilakukan pada bulan April dan awal Mei yang lalu dan 12 orang peserta telah terpilih.
Dalam musim ini, cabaran yang disediakan memang seronok antaranya memanjat batuan bukit, bergayut dengan tali, memasuki gua dan banyak lagi.
Selain adegan yang penuh drama, kita dapat menyaksikan sikap kelakar, bersungguh-sungguh dan daya saing yang sihat.
Terdapat tiga kumpulan iaitu Green Warriors yang diwakili Putri,10, Mei Yee, 12, Rashidi,11 dan Yusef, 11. Manakala Red Hunters diwakili Aqilah,9, Maria,12, Nadim Haikal,11 dan Aliff, 11. Sementara Blue Troopers diwakili Syahirah,12, Khairul Amin,11, Fazlin,12 dan Aaron Ewe,9.
Selain menguji fizikal, mereka turut belajar cara bekerjasama, bertolak ansur dan bertoleransi antara ahli kumpulan.
Mereka yang terpilih turut berasa gembira kerana dapat berkenalan dengan rakan baru serta belajar cara berdikari.
Menurut Putri yang berasal dari Pulau Pinang, dia berasa gembira dan seronok kerana dapat belajar sesuatu yang baru.
“Selain melakukan aktiviti lasak, saya juga dapat mengenali tempat bersejarah di Perak seperti istana Kellie,” ujarnya.
Sementara itu, Maria berasa lebih yakin dan berdikari. Jika sebelum ini, setiap apa yang dilakukannya banyak bergantung kepada ibu bapanya, kali ini setiap keputusan harus dilakukan sendiri dengan bantuan rakan-rakan.
Dalam pada itu, Aliff dan Aaron sangat seronok kerana dapat belajar banyak perkara baru selain mewujudkan semangat berpasukan dan persahabatan yang baik.
Secara keseluruhan, rancangan game show ini bukan sahaja sesuai ditonton oleh kanak-kanak, malah ibu bapa dapat mempelajari perkembangan dan minat anak mereka. Justeru itu, ia sesuai ditonton bersama keluarga dirumah. – RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
No comments:
Post a Comment