mSTAR
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ (zeera@thestar.com.my)
KEMERIAHAN sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini pastinya lebih bermakna buat seluruh rakyat Malaysia khususnya umat Islam. Apatah lagi ia disambut pada bulan kemerdekaan negara ke-54 yang jatuh pada 31 Ogos.
Serentak dengan sambutan itu juga, enam penyampai radio iaitu Halim Othman dan Deejay Lin (dari Suria FM), Dilly (MIX FM), Phoebe Yap (MY FM), Uthaya (THR Raaga) dan Adifashla (Era FM) terpaksa menyambutnya di studio.
Biarpun begitu, mereka tetap meraikan Hari Raya ini dengan cara tersendiri dan pastinya berbeza daripada suasana sebelum ini.
Ada yang mengambil peluang untuk berulang-alik dari kampung ke studio dalam masa sehari dan ada yang terpaksa membatalkan hasrat untuk pulang ke kampung bertemu ahli keluarga dan sanak saudara.
Dalam sesi fotografi yang diatur OopStarz! suasana meriah dapat dilihat apabila deejay-deejay ini berkumpul di rumah pengarah muda, Izzman Hafiz Izzudin Azlan dari syarikat produksi Sazawan Supply Sdn Bhd, yang terletak di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor.
Mereka juga dihidangkan dengan juadah lazat iaitu nasi dagang dan nasi kerabu serta kuih-muih yang pastinya sinonim dengan Hari Raya.
Sambil menikmati makanan, mereka turut berkongsi cerita tentang pengalaman menyambut Hari Raya masing-masing. Bagi Phoebe dan Uthaya yang bukan Muslim, kedua-duanya mempunyai cerita menarik dan berkongsi pandangan tersendiri tentang sambutan Hari Raya yang pernah dilalui mereka sebelum ini.
Dalam pada itu Dilly pula merasakan sambutan Hari Raya baginya tidak semeriah dulu sejak nenek dan datuknya meninggal dunia beberapa tahun lalu.
Dilly azam buat rumah terbuka
Dilly atau nama sebenarnya Adila Shakir buat pertama kalinya tidak dapat bercuti dan terpaksa menyambutnya tanpa keluarga. Biasanya sebelum raya, dia akan balik ke Johor Baru tetapi kali ini terpaksa beraya di studio pada Hari Raya Pertama.
Tetapi sebab nak juga merasai suasana beraya dengan keluarga, dia sanggup pujuk ibu dan bapanya datang ke Kuala Lumpur pada dua hingga tiga hari sebelum Hari Raya.
“Saya tetap meraikan kemeriahan Hari Raya setiap tahun tetapi sejak datuk dan nenek saya meninggal dunia lebih 15 tahun lalu, semangat untuk beraya itu sudah berkurangan. Saya amat rapat dengan mereka kerana pernah tinggal bersama sewaktu belajar di sekolah menengah. Tapi saya bersyukur kerana masih ada nenek sebelah ibu yang tinggal di Shah Alam,” katanya.
Dilly yang menggemari Laksa Johor dan Lontong sebagai menu Hari Raya ini juga merancang untuk menunaikan azamnya yang belum pernah tercapai setiap kali Hari Raya iaitu membuat rumah terbuka di rumahnya di Kota Damansara, Selangor.
Halim Othman mahu meronda
Berbeza dengan yang lain, Halim lebih teruja untuk menyambut Hari Raya di rumah dan pejabat barunya di Tropicana, Damansara. Walaupun dapat bercuti pada Hari Raya pertama, dia tetap memilih untuk beraya di Kuala Lumpur.
Kondominium yang dihuninya bersamaan dengan hari dia pindah pejabat telah memberikan suasana serba baru. Dia merasakan seperti tinggal di dua buah studio memandangkan rumahnya itu berkonsepkan ‘studio apartmen’ dan apabila keluar bekerja juga dia pergi ke studio.
Berbual dengan Halim, seolah-olah menunjukkan beraya di perantauan tiada masalah kepadanya. Ini kerana dia pernah menyambut Hari Raya Aidilfitri di Iowa, Amerika Syarikat sewaktu belajar pada tahun 1995.
“Kerana kesibukan kerja, saya sudah merancang untuk meronda di Kuala Lumpur dan Putrajaya pada Hari Raya pertama. Selepas menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri di masjid sekitar ibu kota, saya akan beraya di rumah kakak dan abang saya di Subang Jaya dan Gombak,” tanya.
Phoebe teringat kisah duit raya
Biarpun menyambut Tahun Baru Cina setiap tahun, tetapi Phoebe atau Yap Siok Wah (MY FM) turut tumpang gembira apabila dapat merasai suasana Hari Raya Aidilfitri di studio.
Cerita Phoebe, perasaan teruja itu timbul apabila melihat penyampai radio beragama Islam lain yang bekerja saling mengucapkan ‘Selamat Hari Raya’ dan memakai baju raya dengan penuh bergaya.
Phoebe agak beruntung kerana berasal dari perkampungan Melayu di Parit Sulung, Batu Pahat, Johor. Jadi, dia mempunyai kenangan manis di Hari Raya Aidilfitri apabila kawan-kawannya berbangsa Melayu menjemputnya datang ke rumah.
"Paling membuatkan saya teruja mengenangkan Hari Raya Aidilfitri apabila saya juga akan dapat duit raya jika saya ikut kawan-kawan Melayu beraya,” katanya yang meminati ketupat dan biskut Almond London.
Adifashla merajuk tanpa ketupat
Walaupun terpaksa bertugas pada tahun ini, Adifashla Juraimi (deejay Era FM) tetap bersemangat membeli baju raya untuk diberikan kepada ibu dan bapanya.
Malah, dia juga sudah membeli sepasang baju Melayu untuk diri sendiri dengan warna merah jambu menjadi pilihan hati.
Dia akan pulang ke kampungnya di Tanjung Karang, Selangor untuk bertemu ibu dan bapa walaupun hanya seketika.
Sepanjang hujung minggu di bulan Syawal juga dia akan terlibat dengan program ‘Riuh Raya Eraton’ dengan berkunjung ke 20 buah rumah pendengar bertuah pada setiap minggu di seluruh negara bersama-sama penyampai Era yang lain.
“Apabila bercakap tentang raya, saya amat menggemari masakan ketupat dengan rendang daging. Terus terang saya katakan, jika ibu saya tidak menyediakan masakan itu, mesti saya akan merajuk,” katanya.
Deejay Lin tidak putus saudara
Kenangan menyambut Hari Raya dengan menaiki bas di Larkin Jaya, Johor Baru ke rumah sanak saudara sewaktu kecil pasti tidak dilupakan deejay Suria FM, Roslinda Abdul Majid Lin atau Deejay Lin.
Dia mempunyai sepuluh orang adik-beradik dan waktu itu, ibu dan bapanya pasti tidak akan lupa untuk membawa mereka adik-beradik beraya terutama sekali di rumah sanak saudara.
Kata Lin, ibu dan bapanya sentiasa mengingatkan dia dan adik-beradiknya supaya mengeratkan hubungan kekeluargaan agar tidak putus saudara.
“Ibu dan bapa Lin selalu berpesan jangan sesekali kita putus saudara. Sebab itulah sejak kecil lagi mereka membawa kami adik-beradik berkunjung ke rumah saudara mara setiap kali Hari Raya menjelma,” katanya,
Pada tahun ini, Lin dan anak-anak akan menyambut Aidilfitri dengan kereta baru setelah dilantik sebagai duta kempen kereta Persona.
Uthaya kunjungi peminat
Bagi Uthaya, penyampai radio THR Raaga yang lebih terkenal di kalangan pendengar berbangsa India ini, dia tetap memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan berkunjung ke rumah peminat.
Katanya yang menggemari lemang dan rendang ayam, dia telah menerima undangan untuk beraya ke rumah peminatnya yang berketurunan India Muslim di Pulau Pinang.
“Kalau nak ikutkan sudah ramai peminat beragama Islam mengundang saya beraya di rumah mereka tetapi pada kali ini saya ingin beraya dengan peminat saya di Pulau Pinang,” katanya.
Solekan SYED DANIAL (017-3783280)
* Pakaian Jedan Collections untuk Uthaya, Adi dan Dilly (012-6928121)
* Terima kasih kepada Yong Rahimah dan Wan Zaharah atas tajaan makanan dan lokasi
No comments:
Post a Comment