Friday, November 25, 2011

Hobi Badminton Adi



Sabtu 5 Nov 2011

Minggu lepas wartawan Utusan datang untuk mengambil gambar gambar Adi dan kawan kawan bermain badminton. Kami selalu bermain di Dewan Komuniti Bukit Damansara. Sudah 4 tahun kami bermain badminton di sini. Terima kasih kepada UTUSAN yang sudi cover aktiviti Adi bersama kawan kawan ni...hehehe...bacalah petikan daripada UTUSAN Online kat bawah ni...


Kesempatan S3 mengikuti aktivitiAdi atau nama sebenarnyaAdifashla Juraimi baru-baru ini di Pusat Komuniti Bukit Damansara membuktikan bahawa penyampai radio Era ini sememangnya mempunyai minat yang sangat mendalam terhadap sukan badminton.

Menurut Adi, minatnya terhadap sukan tersebut sudah mula berputik sejak kecil lagi.

"Saya dan sukan badminton ini memang tidak dapat dipisahkan.

"Kalau diingatkan kembali pengalaman saya masa kecil-kecil dahulu, saya pernah menyelinap keluar dari rumah pada waktu malam semata-mata untuk bermain badminton.

"Bukan sekali dua, malah boleh dikatakan jika ada sahaja kawan yang mengajak, saya akan keluar.

"Tapi perlu berhati-hati kerana jika pagar rumah berbunyi ketika saya hendak keluar, nanti mak dan ayah terjaga pula," katanya sambil ketawa mengingatkan kembali zaman kanak-kanaknya.

Menurut Adi, dia mula bermain badminton bersama rakan-rakannya di pusat komuniti berkenaan sejak tahun 2007 lagi.

Baginya, selain dapat melepaskan gian bermain badminton, aktiviti tersebut juga menyihatkan badan dan dalam masa yang sama dapat mengekalkan stamina.

"Jika tiada apa-apa yang menghalang, saya mesti akan datang bermain badminton di sini.

"Apa yang penting, saya dapat mengeluarkan peluh di samping dapat berjumpa dengan rakan-rakan di sini," katanya sambil mengemaskan ikatan tali kasut.

Menganggap badminton sebagai aktiviti rutin dan satu kemestian baginya, dalam masa yang sama, sebenarnya aktiviti berkenaan turut merapatkan hubungannya dengan rakan-rakan.

Tambah Adi, dia dan rakan-rakan yang lain akan bermain badminton di dewan berkenaan pada setiap malam hari Selasa dan juga Khamis.

"Biasanya, ramai juga rakan-rakan artis yang datang untuk bermain badminton di sini.

"Azrul Raja Lawak dan Serina Ridzuawan juga selalu datang ke sini tapi hari ini mereka tidak dapat datang mungkin kerana ada hal masing-masing.

"Malah, ramai rakan-rakan yang kami kenali dari laman Facebook kumpulan kami iaitu Fun, Happy and Recreation Club, juga akan turut sama datang untuk beradu kekuatan," katanya sambil tergelak kecil.

Sementara itu, pelakon komedi tanah air, Farouk Hussain, 44, yang ada pada malam itu turut menyatakan aktiviti badminton tersebut dapat merapatkan hubungan mereka.

"Kami pernah menganjurkan perlawanan amal dengan kumpulan Wings dan dalam masa yang sama turut menderma untuk disalurkan kepada tabung Palestin.

"Jadi, di sini jelas sukan badminton ini bukan sekadar aktiviti riadah malah turut menyumbang kepada sesuatu yang positif," katanya.

Setelah empat tahun beraksi bersama di gelanggang badminton, kehebatan Adi sememangnya dikagumi oleh pelakon komedi, Farouk selaku individu yang selalu bermain badminton dengannya.

Menurut Farouk, Adi merupakan seorang pemain yang boleh diharapkan lebih-lebih lagi dia juga pernah menyertai beberapa pertandingan.

"Setiap kali saya beregu dengan Adi, memang terasa kehebatan dia.

"Saya pun kadang-kadang turut belajar sesuatu yang baru dengan dia.

"Kiranya, dalam satu pasukan itu, Adi memang individu yang boleh diharaplah," katanya mengakhiri bicara sambil bersiap sedia untuk memulakan perlawanan badminton.


No comments: